Tahun ini disebabkan kepadatan jadual kerjanya, penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza tidak berkesempatan untuk mengadakan sesi fotografi raya bersama Kosmo!. Namun, sebagai ganti buat tatapan peminatnya, Siti bermurah hati dan menitipkan aksi keluarga bahagianya yang dirakam bersama suami, Datuk Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) dan tiga daripada empat orang anak tirinya iaitu Muhammad Adib, Muhammad Asyraf dan Muhammad Aazief. Muhammad Anas Zawawi tidak menyertai sesi fotografi tersebut.
Jelas terpancar kebahagiaannya bersama suami serta kemesraan bersama anak-anak tirinya. Bercerita tentang lebaran, kali ini merupakan tahun kesembilan beliau meraikannya sebagai isteri kepada Datuk K. Meskipun anak-anak tirinya semakin meningkat dewasa, kata Siti, rutin yang dijalani adalah sama setiap tahun. “Setiap tahun rutin sambutan raya sama sahaja. Kami akan berkumpul di rumah saya di Kuala Lumpur terlebih dahulu kerana keluarga Datuk K semuanya ada di sini. Selepas solat raya dan bersalaman bersama keluarga, barulah masing-masing akan pulang ke kampung halaman. “Seperti saya dan Datuk K, kami pulang ke kampung saya di Kuala Lipis, Pahang, manakala anak-anak tiri pula beraya dengan ibu mereka. Bagaimanapun, suasana tetap meriah dan kecoh seperti keluarga lain,” katanya. Disoal tentang persiapan rayanya, jelas Siti, keluarganya tidak mengamalkan konsep sedondon, sebaliknya, hanya mengikut cita rasa masing-masing. Kebiasaannya, beliau hanya mengikut warna baju raya Datuk K dan anak-anak pula diberi kebebasan untuk memilih warna dan fesyen yang dikehendaki. “Keluarga saya menyambut raya serba ringkas. Disebabkan anak-anak tiri semuanya sudah besar panjang, mereka sudah boleh buat keputusan sendiri seperti baju apa yang ingin dipakai dan ke mana mereka mahu menyambut raya. Mereka sekarang lebih berdikari. “Namun, detik wajib dan paling penting buat kami sekeluarga adalah bersalaman di pagi raya. Tidak lengkap rasanya raya tanpa adegan bersalaman dan bermaafan antara satu sama lain,” terang Siti jujur. Sungguhpun begitu, sambutan raya tahun ini agak syahdu buat keluarga sebelah Siti selepas neneknya, Teh Te’ek meninggal dunia pada 12 Mei lalu akibat sakit tua. Tutur Siti, insan yang paling terkesan dengan pemergian arwah neneknya sudah pasti ibunya, Siti Salmah Bachik yang menjaga wanita tersebut sehingga ke akhir hayatnya. “Memang diakui, sambutan raya kali ini agak berbeza buat keluarga sebelah Siti kerana arwah nenek telah tiada. Emak paling terkesan dengan pemergiannya kerana dia yang menjaga nenek sehingga ke akhir hayat. Jadi, kami semua pulang ke kampung untuk mengembirakan hati emak,” ujar Siti.
0 Comments
Memperkatakan tentang seorang Siti Nurhaliza memang tidak akan pernah berpenghujung. Ironi, bukan tidak ada keluhan yang dilemparkan seperti ‘Siti lagi? Atau balik-balik Siti’. Bagaimanapun, percayalah tanpa sedar kita sentiasa mahu diisi dengan perkhabaran tentang penyanyi tersohor negara itu.
Tidak memerlukan pakaian yang mencolok mata, apa lagi tarian berbaur erotik, Siti hanya memerlukan lontaran vokalnya untuk menyihir khalayak. Itu yang beliau lakukan sepanjang kembara seninya sejak 20 tahun lalu. Hanya menggunakan vokal merdu kurniaan Ilahi, Siti menjadikan ia senjata menawan khalayak. Untuk kesekian kalinya, biar sudah melakukan ribuan persembahan baik dalam skala kecil atau besar, Siti menyihir khalayak dengan kerendahan hatinya, tetapi tinggi nilai dalam kariernya. Malam itu, 7 April, menjadi detik manis buat Siti serta peminat setianya yang digelar SitiZoners. Menerusi konsert eksklusif satu malam yang diberi judul Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015, Istana Budaya disemarakkan dengan keampuhan vokal dan keutuhan seorang penyanyi legenda negara. Pada konsert kali ini, sesuai dengan tema akustik, Siti tidak tampil berlebihan. Beliau hanya menyalin pakaian dua kali. Itu fakta bagi khalayak yang suka mencongak berapa persalinan yang dikenakan Siti setiap kali muncul di pentas. Namun, fakta penting yang khalayak perlu tahu ialah bagaimana beliau membius para penonton selama dua jam lebih hanya untuk mendengarnya mengalunkan seleksi lagu hit yang berada kemas dalam portfolio seninya. Bersama Aubrey Suwito yang sekian lama setia menemani melodi-melodi seninya, Siti mengalunkan untaian hit yang bukan sembarangan. Siapa yang boleh lupakan betapa hebatnya kuasa lagu seperti Jawapan Di Persimpangan, Purnama Merindu atau Diari Hatimu. Kita pergi lebih jauh, sentuhan magis komposer terkenal, Adnan Abu Hassan yang turut dirai Siti dengan menjemput beliau memecah keheningan bersama dentingan pianonya bagi lagu Jerat Percintaan, sudah cukup membuat audiens larut sama dalam emosi. Sementelah, alunan matang vokal Siti yang dilagukan indah dan kemas membuat khalayak terkesima. |